Tawaran MB selain Mohd Amar petunjuk Pas Kelantan terdesak, kata Mohd Khairuddin
Tindakan Pas menawarkan calon baharu untuk jawatan Menteri Besar Kelantan dan menunjukkan pimpinan parti itu dalam keadaan terdesak, kata seorang bekas pemimpinnya.
Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali yang kini adalah Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO menyifatkan, Pas Kelantan dalam keadaan tertekan dan kurang senang dengan penyandang jawatan Timbalan Menteri Besar, Mohd. Amar Nik Abdullah.
“Tawaran saat akhir ‘orang baharu’ tanpa dinamakan siapa orangnya sebagai Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar Kelantan dengan menggugurkan penjawat sedia ada menunjukkan pimpinan Pas sendiri merasa rimas dan tertekan dengan pelbagai kenyataan sinis dan sinikal oleh Mohd. Amar sekarang terutamanya dalam isu dan krisis air di Kelantan.
“Ia tidak menguntungkan politik Pas di Kelantan malah menimbulkan kemarahan rakyat jelata. Kerimasan ini sebenarnya sudah lama disuarakan dalam kalangan ahli dan pimpinan pertengahan Pas,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Khairuddin menambah, walaupun parti Pas mengekalkan pentadbiran tanpa Mohd Amar menjadi Menteri Besar, keadaan adalah sama dengan masalah pengurusan kerajaan Kelantan terutama melibatkan isu air dan tatakelola pada pandangannya tetap akan berulang.
Untuk rekod, adik bekas Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat iaitu Nik Din Nik Ma menggesa pengundi menolak Mohd. Amar di kerusi Panchor .
Ia selepas Mohd Amar didakwa bertanggunjawab Nik Abduh Nik Aziz daripada bertanding di Chempaka sekaligus menghapuskan legasi kepimpinan Allahyarham di negeri itu.
Dalam pada itu, Mohd Khairuddin mempersoalkan mengapa Pas tidak mengugurkan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sebagai Menteri Besar Kedah dan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Menteri Besar Terengganu.
“Ucapan-ucapan Menteri Besar Kedah yang kontroversi sebagai seorang pemimpin daripada parti berjenama Islam adakah dilihat menguntungkan politik Pas di Kedah? Kedua-dua mereka adalah ahli Dewan Harian yang sudah tentu menghadiri mesyuarat tersebut.
“Rakyat berhak memilih yang terbaik dari kalangan yang baik. Tanpa Pas, Islam tetap terjulang dan dinobatkan manakala pengurusan dan tatakelola pula dibuat penambahbaikan demi kemaslahatan rakyat. Air di Kelantan insya-Allah bakal dinikmati sebagaimana selayaknya oleh rakyat Kelantan yang telah merintih sejak 33 tahun,” katanya