Pilihanraya

Tok Mat puji jentera, amal politik matang di DUN Rantau

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memuji jentera Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang menjalankan kempen pilihan raya negeri (PRN) secara sihat.

Mohamad yang juga calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau berkata, sikap hormat-menghormati antara satu sama lain sepanjang tempoh berkempen juga manifestasi kepada politik matang.

“Tidak ada kecam-mengecam, cuma masing-masing minta dan rayu supaya pengundi memberikan undi kepada mereka (calon).

“Saya rasa perkara ini satu benda yang sihat, di tempat lain saya tidak tahu (tetapi) dikhabarkan panas. Yang penting bukan masa 14 hari (kempen) itu tetapi selepas PRN nanti,” katanya.

Mohamad sebelumnya ditemui pemberita di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina Chung Hua, Rantau di Rembau hari ini.

Beliau tiba di pusat pengundian berkenaan bersama isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin kira-kira pukul 8.32 pagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan proses pengundian berjalan lancar dan tiada kesesakan berlaku.

“Syukur keadaan tak kelam kabut kerana kita uruskan PRN dengan baik dan pejabat-pejabat parti juga terletak jauh dari tempat mengundi, jadi tak ada kelam kabut di tepi pagar dan sebagainya.

DUN Rantau menyaksikan pertembungan satu lawan satu dengan Mohamad disaingi Timbalan Yang Dipertua Pas Rembau, Rozmal Malakan.

Mohamad merupakan penyandang DUN Rantau sejak 2004 dan menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dari tahun 2004 sehingga 2018.

Related Articles

Back to top button