Semasa

Altimet tekad beri khidmat untuk rakyat tanpa kira ideologi

Calon Pakatan Harapan (PH), Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor semalam tekad memberi khidmat terbaik untuk rakyat.

Syed Ahmad yang lebih dikenali sebagai Altimet melalui satu kenyataan berkata, akan berkhidmat kepada semua rakyat tanpa mengira perbezaan parti politik.

Beliau sementara itu menzahirkan ucapan terima kasih kepada pengundi yang memberi mandat kepadanya.

“Saya amat berterima kasih kepada semua pengundi-pengundi Lembah Jaya yang menjadi pembakar semangat untuk saya terus berkhidmat dan berbangga menjadi sebahagian daripada Lembah Jaya.

“Kepada rakan-rakan jentera, tidak kira Pakatan Harapan mahupun Barisan Nasional, hormat saya kepada anda amat tinggi, saya sanjung kerja keras mereka selama tempoh berkempen ini.

“Saya akan segera memulakan tugas seawal pagi Subuh esok bersama jemaah di masjid,” jelasnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan proses pengundian teratur.

Syed Ahmad berjaya meraih 26,298 undi dengan majoriti 6,678 undi menewaskan saingannya Sharifah Haslizah Syed Arifin calon Perikatan Nasional (PN) yang hanya meraih 19,620 undi.

Related Articles

Back to top button