Semasa

Isu tunjuk kertas undi: Sanusi cuba salahkan media?

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan tindakan menunjukkan kertas undi yang sudah dipangkah kepada umum adalah satu kesalahan.

Merujuk kepada laporan media bahawa Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, didakwa secara sengaja menayangkan kertas undi kepada petugas media, Razarudin menjelaskan ia melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Setakat ini jelasnya belum ada apa-apa laporan dibuat terhadap tindakan Sanusi itu, beliau bagaimanapun menegaskan siasatan akan dijalankan sekiranya pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu.

“Belum ada mana-mana pihak tampil membuat laporan berhubung perkara itu, sekiranya ada laporan kita akan siasat,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman pada Sabtu.

Sanusi semalam didakwa dengan jelas telah mempamerkan kertas undi sebelum ia dimasukkan ke dalam kotak undi kepada media.

Dia bagaimanapun kemudian mendakwa tidak berniat menayang kertas undi ketika membuang undi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya semalam.

Dipetik laporan media, Sanusi juga dilihat cuba mengalihkan kesalahan itu kepada wartawan apabila berkata kejadian itu berlaku kerana melayan kehendak petugas media yang memintanya berpusing ke kanan dan kiri.

ADUN Jeneri itu turut mendakwa gambar itu seolah-olah sengaja disiarkan oleh petugas media terbabit kerana terdapat lebih banyak gambar lain yang boleh dipilih untuk disiarkan.

“Saya layan kehendak wartawan, tapi mereka perkena saya ‘tang’ (pada) gambar itu, kalau saya nak pamer saya kena angkat macam tu (lebih tinggi),”

“Saya akan cari dia sampai lubang cacing untuk bagi nasihat kepadanya, jadilah mata lebah jangan jadi mata lalat,” katanya dipetik laporan Metro

Related Articles

Back to top button