Negeri

Kerajaan Johor laksana langkah proaktif tangani isu pencemaran jajaran Sungai Skudai

Kerajaan Negeri Johor akan bertindak memindahkan lebih 1,000 rumah setinggan di sepanjang jajaran Sungai Skudai bagi menyelesaikan isu pencemaran sungai berkenaan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dalam sidang media pada Program Johor Bersih di Johor Bahru pada Ahad berkata, setinggan terbabit terletak di sepanjang 52 kilometer (km) di jajaran Sungai Skudai.

“Penempatan setinggan itu dikenal pasti antara punca Sungai Skudai masih teruk tercemar. Ini kerana sikap penduduk yang masih membuang sampah merata-rata termasuk ke dalam sungai.

“Bagi memastikan penyusunan semula setinggan di jajaran Sungai Skudai dapat dilaksanakan, Jawatankuasa Bertindak Rancangan Kawasan Khas (RKK) Sungai Skudai ditubuhkan,” katanya.

Untuk rekod, jajaran Sungai Skudai yang terletak dalam kawasan penempatan terutama setinggan dilaporkan tercemar pada tahap Kelas Lima iaitu dikategorikan pencemaran paling teruk di negara ini.

Hanya sebahagian jajaran sungai itu dikategorikan pada Kelas Tiga dan Kelas Empat.

Sementara itu jelas Mohd Jafni, Jawatankuasa Bertindak RKK Sungai Skudai akan bermesyuarat setiap bulan bagi memastikan sasaran pencemaran Sungai Skudai diatasi dalam tempoh lima tahun.

Agensi berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Badan Kawalselia Air Johor (Bakaj) pula jelasnya akan memainkan peranan utama bagi mencapai sasaran digariskan bagi memastikan Sungai Skudai tidak lagi tercemar.

“Selain penyusunan semula setinggan, jawatankuasa bertindak juga akan memastikan penguatkuasaan lebih tegas bagi mengekang pembuangan sampah, pemantauan tapak pembuangan sampah selain pengindahan kawasan sungai serta landskap,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button