Negeri

Aminudin tekad pimpin Negeri Sembilan dengan integriti dan ikhlas

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun tekad menterjemah mandat diberikan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sabtu lalu dalam bentuk tindakan.

Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri itu, prestasi negeri akan terus digarap dan dipacu dengan baik selari lima tekad yang digariskan dalam Malaysia Madani diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tiada kawasan yang akan dipinggirkan, inklusiviti akan menjadi paksi kepimpinan rakyat dan pemimpin akan bergerak sederap dalam memacu pembangunan negeri.

“Semua inisiatif dalam Aspirasi Perpaduan akan diterjemahkan dalam tempoh kepimpinan bagi membangun dan memajukan lagi negeri ini di samping memelihara adat warisan yang disanjung tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sembah ikrar taat setia sempena Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti petang semalam.

Sementara itu tambah ADUN Sikamat itu, walaupun tugas yang dipertanggungjawabkan itu bukan mudah, apa lagi ia membawa harapan rakyat Negeri Sembilan atas Aspirasi Perpaduan yang dijanjikan, namun beliau berikrar akan melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab.

“Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan akan dibentuk untuk mencapai kemajuan negeri, kemampanan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

PH memenangi 17 daripada keseluruhan 36 kerusi Dun pada PRN berkenaan dengan ahli gabungan itu DAP menang 11 kerusi, PKR (5) dan Amanah (1) manakala Barisan Nasional (BN) yang merupakan rakan gabungan strategik PH menang 14 kerusi.

Related Articles

Back to top button