Inisiatif Dana Iklan Digital OHSEM beri manfaat besar untuk komuniti PKS negara
Komuniti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia dapat menjana lebih pendapatan dan berpeluang mengembangkan perniagaan menerusi inisiatif Dana Iklan Digital OHSEM.
Pengasas Anas Popcorn Kawi Li berkata, inisiatif yang dilancarkan kerajaan itu dapat membantu PKS terbabit untuk menceburi ekonomi digital melalui kerjasama dengan platform kandungan tempatan.
“Setiap bulan, Anas Popcorn akan membelanjakan lebih RM3,000 untuk pemasaran dan pengiklanan menggunakan platform media sosial, radio dan sepanduk.
“Justeru, pengumuman inisiatif kerajaan ini adalah sangat tepat pada masanya yang memberikan manfaat kepada PKS dan juga platform kandungan tempatan, khususnya PKS yang berpotensi untuk pergi jauh dalam industri,” katanya dipetik laporan Bernama.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil pada Khamis lalu melancarkan Dana Iklan Digital OHSEM bernilai RM21 juta sebagai inisiatif bagi menggalakkan usahawan PKS membuat pengiklanan menerusi platform kandungan tempatan.
Menurutnya, jika sebelum ini PKS perlu membayar RM8,000 untuk capai 100,000 audiens, menerusi inisiatif itu mereka hanya perlu membayar RM1,000 sahaja, iaitu diskaun sehingga lebih 85 peratus.
Dengan pelaksanaan inisiatif tersebut Fahmi berkata, ia memberikan impak kepada tiga pihak iaitu PKS, platform kandungan tempatan dan ekonomi negara.
Sementara itu Kawi Li berkata, pengiklanan melalui pelbagai platform memainkan peranan penting dalam mempromosikan produk PKS terutamanya selepas pandemik Covid-19 yang ‘memaksa’ masyarakat untuk melabur dalam ekonomi digital.
pengiklanan menerusi platform tempatan juga dapat memastikan kemampanan pasaran tempatan berikutan PKS sering mengehadkan pengiklanan mereka kepada media sosial kerana kos yang rendah.