Semasa

KWSP catat pendapatan pelaburan RM33.19 bilion separuh pertama 2023

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM33.19 bilion bagi separuh tahun pertama berakhir 30 Jun 2023 (1H 2023), peningkatan sebanyak RM9.44 bilion, berbanding RM23.75 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2022.

Dalam satu kenyataan hari ini, KWSP berkata, jumlah itu adalah selepas mengambil kira turun nilai kos ke atas ekuiti tersenarai yang direkodkan untuk tempoh tersebut.

Daripada jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM33.19 bilion, RM4.79 bilion mewakili keuntungan ‘mark-to-market’ (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan. Keuntungan MTM disumbangkan oleh turun naik pertukaran mata wang asing.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prestasi pasaran ekuiti global pada separuh tahun pertama 2023 adalah positif, diterajui oleh pasaran maju, khususnya di AS yang terus menunjukkan daya tahan walaupun kadar faedah meningkat.

“Ketangkasan dan kebolehsuaian KWSP dalam strategi pelaburannya membuka ruang kepada pengurus pelaburan untuk memanfaatkan peningkatan pasaran, sekali gus menyumbang kepada pulangan yang lebih tinggi daripada ekuiti dalam tempoh tersebut.

“Ini berbeza dengan prestasi pasaran ekuiti yang dilihat pada separuh tahun pertama 2022, yang menyaksikan beberapa indeks mengalami kemerosotan yang ketara, dengan kebanyakan pasaran termasuk AS mencatatkan prestasi separuh pertama terburuk mereka dalam beberapa dekad,” tambah beliau.

Amir Hamzah berkata, bagi Malaysia, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.6 peratus pada suku tahun pertama 2023 telah melangkaui jangkaan, didorong khususnya oleh permintaan domestik yang kukuh dan peningkatan dalam pasaran buruh.

“Pertumbuhan yang berdaya tahan telah meredakan keadaan kewangan yang ketat, seterusnya memberikan ruang kepada pasaran modal domestik,” katanya lagi.

Jumlah pendapatan pelaburan KWSP bagi suku kedua (S2 2023) ialah RM18.03 bilion, meningkat RM9.05 bilion daripada RM8.98 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas.

Pelaburan ekuiti terus menjadi penyumbang utama pendapatan bagi S2 2023 pada RM9.60 bilion manakala kelas aset ini menjana pendapatan RM4.07 bilion pada suku yang sama pada 2022.

Katanya, sebahagian besar daripada peningkatan tersebut adalah disumbang oleh langkah proaktif dan ketepatan dalam merealisasikan keuntungan, disokong oleh peningkatan pasaran keuntungan sekuriti MTM. Selepas mengambil kira turun nilai kos, angka ini menyumbang 53 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi suku tersebut.

Pelaburan domestik KWSP, yang merangkumi 61.4 peratus daripada jumlah aset, telah meningkat sebanyak RM57 bilion berbanding setahun lalu.

KWSP berkata, pihaknya kekal komited untuk menyokong dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, dengan terus memperuntukkan lebih 80 peratus daripada peruntukan tahunan pelaburan baharunya kepada pasaran domestik.

Pada S2 2023, sebanyak RM16.27 bilion daripada RM18.03 bilion pendapatan pelaburan kasar dijana untuk Simpanan Konvensional, manakala RM1.76 bilion untuk Simpanan Shariah.

Related Articles

Back to top button