Nasional

PDRM akan panggil Sanusi berhubung pamer kertas undi – KPN

Polis akan memanggil Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk dirakam keterangan berhubung tindakannya mempamer kertas undi semasa pilihan raya negeri Kedah pada Sabtu lalu, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Menurut Razarudin, langkah itu bagi pihak polis merakam keterangan daripada beliau (Muhammad Sanusi) dan kerana polis telah menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Siasatan dijalankan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Polis tidak akan menganiayai sesiapa dan kertas siasatan yang disiasat akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, hari ini.

Razarudin berkata, bagi membuat pertuduhan bukan di pihak polis tetapi polis ada cadangan kepada Peguam Negara selepas melihat keterangan yang diambil.

“Kita juga takkan hendak memandai tambah keterangan dan terpulang kepada Pejabat Peguam Negara untuk tuduh atau tidak,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Muhammad Sanusi mempamer kertas undi kepada petugas media yang membuat liputan ketika beliau menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Sik, Kedah.

Tindakan itu menyebabkan beliau dianggap telah melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Perkara (39) akta itu menyebut tiada pemilih yang telah mengundi dalam mana-mana pilihan raya boleh, dalam mana-mana prosiding yang mempersoalkan pilihan raya itu, dikehendaki menyatakan siapa yang telah diundinya.

Akta tersebut selanjutnya menyebut, kesalahan itu boleh dihukum penjara sehingga setahun, denda sehingga RM3,000, atau kedua-duanya sekali.

Related Articles

Back to top button