Mahkamah

Peguam Negara rayu keputusan mahkamah bebas Mahiaddin

Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memfailkan notis rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang membebaskan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Mahiaddin Yassin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.

Menerusi satu kenyataan, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, keputusan mahkamah melepaskan Mahiaddin Yassin itu hanya melibatkan empat pertuduhan bagi kesalahan bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Bagi tiga lagi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 ke atas Tan Sri Mahiaddin Yasin, masih kekal.

“Tarikh sebutan bagi kes itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ialah pada 19 September depan,” katanya.

Hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan pertuduhan dihadapi Mahiaddin dibatalkan dan Ahli Parlimen Pagoh itu dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dihadapinya.

Muhammad Jamil dalam penghakimannya mendapati, keempat-empat pertuduhan adalah cacat, tidak berasas dan kabur.

Beliau berpuas hati, pertuduhan yang dihadapi Muhyiddin tidak mendedahkan butiran kesalahan yang dilakukan menyebabkan tertuduh tidak dapat menyediakan arahan selanjutnya kepada peguam yang mewakilinya.

Mahkamah berpendapat, jika perbicaraan diteruskan akan menyebabkan Muhyiddin tidak dapat menyediakan pembelaan sewajarnya dan menjadikan pendakwaan terhadapnya sebagai satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Related Articles

Back to top button