Global

Presiden Filipina sifatkan hubungan dengan PM Anwar sangat rapat

Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr menyifatkan hubungannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai paling rapat.

Perkara itu dinyatakan Marcon dalam satu temu bual bersama Manila Bulletin.

Menurutnya Anwar adalah sahabat lama dan persahabatan mereka berdua telah terjalin sejak dulu lagi. Malah menurut Marcos, beliau sempat bertemu dengan Anwar selepas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu baru dibebaskan daripada tahanan.

“Salah satu kejutan yang menarik ialah beliau merupakan peminat sejati Jose Rizal (pejuang bangsa di Filipina), malah pernah mengadakan siri syarahan tentang Rizal,” kata Marcos seperti dilapor Manila Bulletin.

Sebagai rekod, Anwar dan Marcos telah mengadakan pertemuan secara rasmi dua kali pada tahun ini.

Pada Mac Anwar mengadakan lawatan rasmi ke Filipina, manakala Marcos pula mengadakan lawatan kerja selama tiga hari ke Malaysia pada Julai.

Semasa lawatan tersebut, Malaysia dan Filipina antaranya bersetuju untuk menyokong Kepusatan ASEAN dan terus bekerjasama rapat untuk menangani pelbagai cabaran yang ditimbulkan oleh geopolitik dan sosioekonomi yang sentiasa berubah.

Malaysia adalah rakan dagangan ke-10 terbesar Filipina dan sumber ke-22 pelaburan yang diluluskan pada 2022, selain berada pada kedudukan ke-20 dari segi sumber ketibaan pelancong pada 2023.

Selain itu, dalam temu bual sama, Marcos turut mendedahkan beliau rapat dengan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair, yang dikenalinya melalui Pengerusi Ayala Corporation, Jaime Augusto Zobel de Ayala.

“Beliau adalah pemerhati yang sangat tajam dalam politik global, mempunyai hubungan yang hebat, dan bersedia untuk berkongsi,” kata Marcos.

Related Articles

Back to top button