Semasa

Tema sambutan hari Kebangsaan punya maksud yang perlu dihayati semua rakyat

Tema ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ bagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 mempunyai maksud yang cukup bermakna untuk dihayati segenap lapisan rakyat.

Penganalisis Politik, Mujibu Abd Muis berkata, mesej tema itu jelas melambangkan betapa pentingnya perpaduan dalam memacu pembangunan ekonomi negara serta mengangkat martabat rakyat ke tahap yang lebih tinggi.

Ia jelasnya bertepatan dengan landskap sosiopolitik negara dan mengajak rakyat mengukuhkan semangat perpaduan dalam menghadapi pelbagai cabaran termasuk ketidaktentuan ekonomi global.

“Penting bagi negara rencam seperti Malaysia untuk bersatu kerana kerencaman adalah aset utama negara. Kalau suatu akomodasi mampu dilakukan, penyatuan warga yang rencam akan membawa banyak manfaat kepada negara dalam sektor ekonomi dan sosial.

“Kemajuan ekonomi hanya boleh dihasilkan kalau kestabilan wujud. Ia (kestabilan) hanya wujud kalau rakyat bersatu dan saling membantu, dan sebaliknya pula kalau berpecah dan bertelingkah, negara akan mundur dan hancur,” katanya menurut laporan Bernama.

Beliau yang juga Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, tema itu menampakkan ketegasan kerajaan dalam meningkatkan perpaduan dengan menitikberatkan sikap saling memahami dan bertoleransi antara kaum selain memperbaiki kelemahan yang wujud dalam kalangan masyarakat.

Katanya, dalam konteks keunikan Malaysia yang mempunyai rakyat berbilang bangsa, agama dan budaya, Perlembagaan dan Rukun Negara perlu dijadikan pegangan tidak kira dalam apa juga keadaan supaya negara kekal aman.

Menurut Mujibu, kerajaan boleh terus memperkasakan perpaduan dengan mempelbagaikan kegiatan bersifat patriotik, mewujudkan pelan jangka panjang yang berkesan bagi membentuk identiti negara bangsa serta memastikan sebarang bentuk fahaman ekstremisme yang menyentuh keharmonian antara kaum dan agama tidak berlaku.

Related Articles

Back to top button