10 ADUN angkat sumpah Exco Pulau Pinang
Sepuluh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang termasuk tujuh muka baharu mengangkat sumpah mengangkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang, hari ini.
Mendahului pelantikan ialah ADUN Batu Maung, Prof Datuk Dr Mohamad Abdul Halim yang menyandang jawatan Timbalan Ketua Menteri 1, dan ADUN Datok Keramat, Jagdeep Singh Deo sebagai Timbalan Ketua Menteri 2.
Wakil Rakyat Pakatan Harapan (PH) berkenaan mengangkat sumpah sebagai Exco di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak disaksikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Tujuh daripada mereka adalah dari DAP iaitu Adun Tanjong Bunga, Zairil Khir Johari, Adun Paya Terubong, Wong Hon Wai, Adun Sungai Pinang, Lim Siew Khim, Adun Jawi, H’ng Mooi Lye, Adun Padang Lalang, Gooi Zi Sen dan Adun Perai, Datuk Seri S Sundarajoo.
Selain Mohamad, Adun Pantai Jerejak, Fahmi Zainol turut mengangkat sumpah jawatan berkenaan.
ADUN Sungai Acheh, Rashidi Zinol menjadi satu-satunya wakil rakyat daripada BN mengangkat sumpah hari ini sekali gus menyaksikan parti itu kembali dalam barisan Exco Pulau Pinang selepas berada di blok pembangkang sejak 2008.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang yang lepas, gabungan PH-BN memenangi 29 kerusi manakala PN menang 11 kerusi, dan ia disusuli dengan Majlis Angkat Sumpah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri.