Parlimen

Akta 709: K’jaan dijangka bentang pindaan Oktober ini

Kerajaan Perpaduan sedang menilai keperluan mewujudkan jawatan pegawai perlindungan data dalam organisasi, melalui pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi (Akta 709), kata Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga merupakan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) berkata, pindaan akta yang bertujuan melindungi data peribadi individu itu dijangka dibentang pada di Parlimen seawal Oktober ini.

“Satu aspek yang kita lihat ialah pegawai perlindungan data ini, penting bagi organisasi menjaga data…kerana ini ada dibangkitkan (Pengerusi Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia) Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin, berkenaan masalah penjagaan data oleh setiap organisasi.

“Kita lihat ada keperluan untuk ada jagaan data tetapi semua tertakluk kepada proses untuk mendapat maklum balas daripada pihak berkepentingan dan Jemaah Menteri…sekiranya diluluskan Jemaah Menteri kita bawa pindaan ini paling awal Oktober dan paling lewat bulan Mac (tahun depan),” katanya.

Fahmi berkata demikian selepas merasmikan Cyber Digital Services, Defence & Security Asia (C|YberDSA) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC pada Selasa.

Mengenai Rang Undang-Undang Keselamatan Siber, Fahmi berkata Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), sedang merangka rang undang-undang yang dijangka akan dibentangkan selewat-lewatnya awal tahun hadapan.

Terdahulu dalam ucaptamanya Fahmi berkata Malaysia kekurangan 12,000 profesional keselamatan siber, dan bagi mengatasinya, kerajaan kini sedang menambah baik sokongan dan laluan untuk pendidikan keselamatan siber.

“Terdapat kekurangan profesional keselamatan siber yang meruncing, yang bukan sahaja dilengkapi dengan kemahiran teknikal yang tepat, tetapi juga mempunyai kreativiti dan pemahaman mendalam mengenai teknologi dan juga kelakuan manusia,” katanya.

Related Articles

Back to top button