JAKIM kekang sebarang usaha promosi buku LGBT
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memandang serius sebarang usaha mempromosi buku yang boleh mendorong anak-anak terpengaruh dengan budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff susulan video tular oleh Cordova Media mengenai beberapa buku yang didakwa mendorong anak-anak agar terpengaruh dengan LGBT .
Menurut Hakimah, JAKIM telah menerima aduan mengenainnya dan penelitian mendapati ia diambil di luar negara.
“Walaupun tiada buku seperti dipaparkan dalam video tersebut di mana-mana kedai buku tempatan, namun JAKIM mengambil serius terhadap sebarang usaha mempromosi buku berkenaan dalam kalangan masyarakat negara ini khususnya umat Islam.
“Kandungan buku-buku seumpama ini bukan sahaja mempromosikan budaya homoseksual di Malaysia, malah melanggar sensitiviti agama, undang-undang serta budaya negara ini,” menurutnya dalam kenyataan.
Sementara itu tambah beliau, JAKIM sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri bagi memantau sebarang terbitan bahan bercetak yang mempromosikan budaya LGBT .
Undang-undang Malaysia tegasnya menetapkan kandungan buku seumpama itu melanggar Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, moral serta kepentingan awam.
Justeru Hakimah turut menasihati ibu bapa agar sentiasa memantau anak-anak supaya tidak membeli sebarang bahan bacaan yang mempunyai unsur negatif dan bercanggah dengan ajaran Islam.