Politik

Kerajaan Perpaduan diyakini akan lebih kukuh

Naib Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP), Nga Kor Ming yakin Kerajaaan Perpaduan akan semakin kukuh memandangkan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) berada pada landasan yang betul.

Beliau berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini berlangsung ketika hubungan BN dan PH masih baharu lapan bulan selepas terbentuknya kerajaan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jangan lupa kita (BN dan PH) baru ‘kahwi’’ dan berkawan dalam tempoh lapan bulan sahaja.

“Justeru, berikan kami masa empat, lima tahun dan saya yakin Kerajaaan Perpaduan akan semakin kukuh, stabil dan menuju kecemerlangan.

“Ini adalah permulaan kerjasama yang baik dan ia berada pada kedudukan positif,” katanya.

Kor Ming berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis prapelancaran Anugerah Kecemerlangan Menteri KPKT 2023 dan Anugerah Kecemerlangan Media KPKT 2023 di Putrajaya, semalam.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu berkata, kerjasama BN-PH sudah berada pada landasan yang betul, malah ia berjaya dibuktikan pada PRN lalu.

Menurutnya, kerjasama kedua-dua parti itu di Selangor dan Pulau Pinang berjaya membantu mengekalkan kerajaan negeri sedia ada seperti sebelum pilihan raya lalu.

Tambahnya, kejayaan terbesar kerjasama Perpaduan dapat dilihat menerusi PRN di Negeri Sembilan apabila BN menang di hampir semua kerusi ditandingi.

“Kita lihat kerjasama (Umno-DAP) ini telah membuahkan hasil. Saya merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan Umno dan BN yang membantu kempen calon PH pada PRN lalu,” katanya lagi.

Dalam keputusan PRN, 12 Ogos lalu, PH-BN masih mendahului PN dengan menerima 49.69 peratus undi popular berbanding PN, 49.31 peratus.

Gabungan PH-BN menang 40.4 peratus atau 99 daripada 245 kerusi DUN yang ditandingi di enam kerusi, manakala PN menang 60 peratus atau 146 kerusi menerusi Pas, Bersatu dan Gerakan.

Dalam komponen PH, DAP menunjukkan prestasi cemerlang apabila hanya tewas satu daripada 47 kerusi yang ditandingi.

Sementara itu, BN yang diwakili Umno hanya menang 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi.

Pencapaian terbaik BN di Negeri Sembilan apabila menang 14 kerusi manakala menang dua kerusi masing-masing di Selangor dan Pulau Pinang serta satu kerusi di Kelantan.

Related Articles

Back to top button