ekonomi

Malaysia setanding Korea Selatan jika kerangka Ekonomi Madani berjaya

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Emir Research, Datuk Dr Rais Hussin yakin Malaysia mampu mencapai tahap negara maju seperti Korea Selatan dalam tempoh lima hingga lapan tahun akan datang.

Bercakap sebagai tetamu dalam satu program disiarkan Bernama TV pada Selasa, beliau berkata Malaysia mempunyai sumber alam dan tenaga yang mencukupi untuk memperkasa Ekonomi Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah dengan apa yang cuba dibawakan kerajaan hari ini, Malaysia jelasnya mampu mencontohi Korea Selatan yang berjaya mengubah hala tuju dan polisi ekonominya melalui pendekatan inovasi, berpendapatan tinggi dan menggunakan teknologi terkini sekali gus memacu pembangunan dan menjadi negara maju pada masa ini.

“Kalau kita lihat syarikat Samsung sebagai contoh di Korea Selatan, ada 50,000 pemegang PhD (kelulusan Doktor Falsafah) yang menjadi penyelidik, paling ramai di dunia. Ini menunjukkan mereka telah mulakan usaha dari dulu lagi (1960-an).

“Sebab itu kita perlu ikuti jejak Korea Selatan termasuk dari segi gaji progresif dan gaji minimum, supaya kita boleh mengekalkan bakat yang hebat dan menangani isu penghijrahan golongan profesional ke luar negara ekoran gaji yang rendah,” katanya.

Rais turut melihat Kerajaan Perpaduan juga telah memberi fokus kepada usaha mengimbangi keperluan dalam membangunkan ekonomi dan pada masa sama membantu golongan miskin tegar dan yang memerlukan termasuk peniaga mikro, kecil dan sederhana.

“Jika dilihat kerajaan melalui Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli juga banyak menekankan mengenai solusi operasi untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, antara lain untuk meningkatkan peratusan pendapatan pekerja kepada 45 peratus daripada 35 peratus ketika ini.

“Tidak seperti kerajaan terdahulu yang sering menguar-uarkan projek mega, projek besar-besar, tetapi tidak tahu apa yang akan dihasilkan…memang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) banyak, namun adakah bahagian KDNK ini pergi semula kepada rakyat atau tidak? kita tidak nampak perkara itu,” katanya.

Beliau sementara itu menyatakan keyakinan bahawa dengan keazaman politik yang kuat, pengurusan kewangan yang cermat, tadbir urus berintegriti dan beramanah, kerangka Ekonomi Madani dapat direalisasikan sekali gus menggerakkan Malaysia kepada sasaran yang ingin dicapai.

Related Articles

Back to top button