Negeri

PH akan pantau manifesto PN Terengganu

Pakatan Harapan (PH) akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau pelaksanaan janji manifesto oleh Perikatan Nasional (PN) di Terengganu.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohd Hasbie Muda berkata, jawatankuasa melibatkan wakil dari parti-parti komponen PH itu akan dibentuk dalam tempoh terdekat.

“Walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu akan bersidang tanpa kehadiran pembangkang, kami akan menjalankan fungsi semak dan imbang melalui jawatankuasa tersebut.

“Kita bersedia untuk memantau dan melihat proses pelaksanaan janji manifesto Pas di Terengganu,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

Terdahulu, Pas Terengganu menawarkan 10 manifesto sekiranya terus diberikan mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung 12 Ogos lalu.

Antara manifesto ditawarkan ialah kemudahan pinjaman pembelian motosikal tanpa riba maksimum RM4,000, menyediakan khairat kematian RM500, Tabung Geran Usahawan Belia RM5 juta serta menyiapkan jalan raya berkembar (jalan pantai) dari Kemaman hingga Besut.

Selain itu, Pas juga berjanji akan menaja caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah melalui Perkeso, menyediakan Tabung Bantuan Pertanian, Penternak dan Nelayan sebanyak RM10 juta serta mewujudkan Pusat Tafaqquh Fiddin di setiap daerah.

Di samping itu, turut diberi tumpuan menerusi manifesto ditawarkan ialah menjadikan Terengganu sebagai negeri pengeluar makanan negara dengan peruntukan RM100 juta, meningkatkan peluang pekerjaan menerusi insentif pengembangan perniagaan kepada peniaga yang membuka cawangan perniagaan di Terengganu serta membina ‘Township Mosque’ sebagai masjid baharu yang lengkap dengan fasiliti ekonomi, sukan, rekreasi, pendidikan, sosial, komuniti, kesihatan dan kebajikan.

Related Articles

Back to top button