‘Jangan heret parti dalam pertikaian peribadi,’ Syahdrezan ingatkan pemimpin Pas
Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan menggesa ADUN Sungai Ramal Mohd Shafie Ngah tidak mengheret parti dalam pertikaian antara mereka.
Gesaan itu dilontar Syahredzan berhubung kenyataan Yang Dipertua PAS Bangi tu susulan saman difailkannya berhubung dakwaan memfitnah.
“Tak perlu heret parti, perjuangan dan soal hidup mati semua ke dalam pertikaian ini.
“Ini Syahredzan lawan Shafie Ngah, hal pertikaian di antara kita,” katanya di Twitter hari ini.
Terdahulu, Shafie mengesahkan menerima writ saman yang telah difailkan Syahredzan di mahkamah dan berkata bersedia berdepan Syahredzan di mahkamah.
Bagaimanapun, dia kemudian mengheret parti politik dalam isu tersebut.
“Insya-Allah saya akan jawab satu persatu. Bagi saya waktu yang cukup. Ini perhitungan melibatkan ideologi – PAS dan DAP. Selagi nyawa dikandung badan, saya lawan sampai mati,” katanya.
Syahredzan pada bulan lalu memberi tempoh 48 jam kepada Shafie untuk memohon maaf dan membayar pampasan susulan kenyataan fitnah dibuat.
Shafie dakwanya membuat beberapa kenyataan fitnah terhadapnya dalam dua majlis Perikatan Nasional (PN) diadakan pada Okt 2022 dan awal bulan ini, yang turut disiarkan di media sosial selain mendapat liputan media.
Syahredzan pada 5 Ogos lalu memaklumkan telah memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 Julai lalu, selepas Shafie didapati gagal memenuhi tuntutannya sebelum ini.