KPKM lancar Op BPT, langkah pastikan beras tempatan tidak diseleweng
Sebagai usaha tegas membenteras penipuan dan penyelewengan beras, kerajaan melancarkan Operasi Beras Putih Tempatan (Op BPT) bermula semalam.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) , Datuk Seri Mohamad Sabu melalui satu kenyataan berkata, pihaknya akan memberi fokus pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas kilang padi (komersial) serta pemborong agar keseluruhan bekalan pengedaran beras di semua peringkat mematuhi peraturan sedia ada.
Operasi itu digerakkan susulan laporan media baru-baru ini bahawa berlaku penipuan dalam pembungkusan beras.
“KPKM memandang serius berkenaan dakwaan penipuan oleh pemborong beras tempatan yang membungkus semula kampit BPT menjadi BPI yang tidak dikawal harganya oleh kerajaan,” katanya .
Sementara itu jelas Mohamad Sabu, KPKM melalui Kawalselia Padi dan Beras (KPB) telah berkolaborasi secara strategik bersama Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Op Jamin bermula 7 Julai lalu bagi meningkatkan kapasiti penguatkuasaan dan pemantauan seluruh negara.
“Sehingga 10 Ogos 2023, sebanyak 925 pemeriksaan telah dilaksanakan antara KPKM dan KPDN di seluruh negara bagi memastikan kestabilan bekalan BPT sentiasa terjamin.
“KPKM akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didapati membuat kesalahan perihal satu kenyataan palsu mengenai gred beras di bawah Seksyen 21 Akta Kawalselia Padi dan Beras (Akta 522).
“Individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM25,000, dipenjarakan tidak melebihi tempoh dua tahun atau kedua-duanya dan syarikat sehingga RM50,000.
“KPKM ingin memberikan peringatan kepada semua pengilang, pemborong serta peruncit agar tidak sesekali melakukan penyelewengan ke atas penjualan beras dengan menukar bungkusan atau label BPT kepada BPI dan dijual pada harga jualan runcit BPI,” ujarnya.
Dalam kenyataan sama, beliau menggesa orang ramai menghantar sebarang maklumat mengenai bekalan atau penipuan yang berlaku ke e-mel [email protected] atau melalui talian 03-88701751/1748/1183.