Semasa

Mohamad Sabu terima Resolusi Keterjaminan Makanan

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu menerima satu resolusi mengenai keterjaminan makanan pada Rabu.

Resolusi hasil garapan perbincangan pakar dan pemegang taruh itu yang diserahkan Naib Canselor Universiti Putra (UPM), Profesor Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman dan mengandungi beberapa cadangan antaranya memperkasa golongan petani, penternak dan pesawah melalui pengembangan teknologi pertanian terkini.

Ia diserahkan kepada Mohamad Sabu pada majlis penutup Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan 2023 di UPM

Persidangan itu disertai lebih 340 peserta bersama 36 pempamer yang terdiri daripada industri dan agensi kerajaan.

Bercakap kepada media selepas menutup persidangan tersebut, Mohamad menyifatkan ia sebagai platform yang sesuai dalam membantu KPKM mencapai hala tuju dasar pertanian dan sekuriti makanan manakala resolusi dihasilkan bersesuaian dengan kehendak kementerian.

Pada persidangan itu jelasnya banyak isu dan permasalahan dapat dibangkit dan dibincang manakala cadangan penambahbaikan dapat dicambah sepanjang persidangan itu berlangsung.

“Memang kita sedar anak-anak muda tak nak ceburi bidang pertanian kerana pendapatannya lambat dan kalau dapat pun, tidak begitu tinggi, tapi sekarang ini saya lihat pertanian moden ini ramai nak ceburi,” katanya.

Pada majlis itu, Mohamad melancarkan program Agrobank Inkubator Pembangunan Belia Tani Dikalangan Siswazah (PROBEST) dengan Agrobank memperuntuk sejumlah RM965,250 bagi projek tanaman dan penternakan terpilih kepada 34 peserta yang merupakan pelajar UPM.

Program itu akan memberi pendedahan kepada usahawan golongan belia dengan pelbagai latihan kemahiran insaniah serta bimbingan keusahawanan yang merangkumi modul seni urus kewangan, teknik pemasaran digital, pengembangan perniagaan dan pelbagai bentuk perkhidmatan perniagaan.

Sementara itu, Mohd Roslan dalam ucapannya berkata, UPM beriltizam terus memacu kecemerlangan dalam bidang pertanian dan keterjaminan makanan untuk bersama-sama membantu kerajaan menangani isu keterjaminan makanan serta peningkatan harga makanan yang sedang dihadapi oleh rakyat.

Beliau berkata, penganjuran persidangan itu adalah manifestasi Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu memperkukuh agenda sekuriti makanan negara menerusi penglibatan universiti bersama komuniti.

Related Articles

Back to top button