Negeri

RM254.3 juta diperuntukkan untuk basmi miskin tegar di Johor

Kerajaan Negeri Johor dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM254.3 juta bagi melaksanakan Program-Program Pembasmian Miskin Tegar sepanjang tahun ini di Johor.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata atas inisiatif itu, pihaknya dimaklumkan jumlah miskin tegar di negeri ini telah turun daripada 4,378 Ketua Isi Rumah (KIR) pada Mac lepas kepada 3,270 KIR Ogos tahun ini.

“Hal ini menunjukkan keseriusan serta tekad kerajaan dalam menyelesaikan isu kemiskinan di Johor,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebook beliau.

Tambah Onn Hafiz, Kerajaan Negeri juga akan membincangkan dan mencari satu mekanisme baharu yang lebih kondusif dan terancang bagi menjayakan usaha membasmi kemiskinan tegar itu.

Ia jelasnya akan melibatkan perbincangan dengan seluruh jabatan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini khususnya program keluarga angkat, menyediakan peluang pekerjaan serta memberikan bantuan bersasar.

“Saya berharap agar seluruh jabatan dan agensi yang berkenaan terus sama-sama turun padang dalam memastikan segala perancangan yang dibuat mengikut pelan yang telah disusun rapi, agar seluruh rakyat di negeri ini mendapat manfaatnya.

“Semoga golongan rentan di Johor terus terbela, agar hasrat kerajaan dalam menoktahkan sifar miskin tegar menjelang 2027 akan tercapai,” katanya.

Related Articles

Back to top button