Semasa

Wakil rakyat tunggal PH di Kelantan tekad balas budi pengundi

Wakil rakyat tunggal Pakatan Harapan (PH) dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan Dr Hafidzah Mustakim tekad “membalas budi” kepada rakyat kawasan DUN Kota Lama yang menyokongnya sehingga dipilih mewakili mereka.

“Insya-Allah semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti, saya bersama rakan gabungan dari Adun Barisan Nasional (BN) Galas (Mohd Syahbuddin Hasyim) akan membawa suara rakyat dengan sebaik mungkin bagi memastikan kerajaan negeri dapat melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemerintah dengan baik.

“Pada masa sama, kami akan turut membawa program-program kerajaan perpaduan untuk memberi ‘isyarat’ Kelantan tidak pernah di anak tirikan,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Ketua Wanita Amanah Negeri Kelantan itu berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan “walkabout” di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu.

Dr Hafidzah membuat kejutan apabila merampas kerusi DUN Kota Lama daripada PAS pada PRN Sabtu lalu, dengan majoriti 202 undi.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai isu di Pasar Siti Khadijah, Hafidzah berkata, beliau akan membawa semua permasalahan dihadapi peniaga seperti infrastruktur untuk dibangkitkan semasa sidang DUN nanti.

Katanya, Pasar Siti Khadijah merupakan mercu tanda di negeri ini, namun sayang apabila tidak ada banyak kemudahan yang boleh menarik lebih ramai orang untuk berkunjung ke kawasan berkenaan sekali gus merangsang perkembangan ekonomi di situ.

Dalam pada itu beliau menyatakan keyakinan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan meminggirkan pembangunan di negeri itu walaupun ditadbir pembangkang.

Jelasnya dengan pelbagai peruntukan diberikan Persekutuan kepada Kelantan antaranya melibatkan projek tebatan banjir, peruntukan untuk selesaikan masalah air, dan membantu orang miskin memperlihatkan tiada amalan “pilih kasih” dan anak tiri dilakukan kerajaan perpaduan.

Related Articles

Back to top button