Negeri

22 NGO Islam selar fitnah tutup sekolah agama di Selangor

Seramai 22 NGO Melayu-Islam hari ini mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebar dakwaan bahawa 200 sekolah agama di Selangor diarah untuk ditutup.

Kenyataan yang diketuai Sekretariat Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) itu mengingatkan mana-mana pihak yang cuba untuk menjuarai isu tersebut harus menyemak fakta terlebih dahulu serta bersikap jujur, dan tidak memanipulasi atau mempolitikkan isu berkaitan.

“Isu yang dibangkitan telah dijelaskan oleh menteri iaitu berkaitan dengan Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) yang bertujuan untuk memastikan keselamatan pelajar-pelajar di institut tahfiz serta sekolah agama persendirian.

“Tindakan ini selari dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu semua institusi yang berkenaan didaftarkan di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Justeru, atas fakta tersebut, kami mengecam sebarang fitnah yang cuba disebarkan untuk membakar sentimen kebencian dalam kalangan masyarakat kerana ia akan mengganggu usaha untuk memartabatkan Islam di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama ABIM berkata bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang, 22 NGO Melayu-Islam berpendapat sudah tiba masanya untuk pihak berkuasa bertindak tegas ke atas fitnah hasutan yang tidak berasas seperti itu

“Kami turut menyeru seluruh pihak untuk bea-sama memartabatkan Islam dan menyebarkan tanda pagar #SebarkanSalam dalam proses pembinaan negara menerusi usaha merealisasikan gagasan Malaysia Madani yang dibawa oleh Perdana Menteri,” ujarnya

Sebelum ini muncul dakwaan Selangor sedang dalam proses menutup ratusan sekolah agama persendirian dan ia dikaitkan dengan DAP.

Kerajaan negeri menafikan dakwaan itu dan menegaskan raja pentadbir Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu semua institusi terbabit didaftarkan bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Sesebuah sekolah agama persendirian juga dikehendaki mematuhi beberapa syarat keselamatan.

Related Articles

Back to top button