Negeri

Isu Sekolah Agama di Selangor sudah dijelaskan, berhenti terus bermain fitnah – Amirudin

Menteri Besar sementara, Datuk Seri Amirudin Shari membidas tindakan pihak tertentu yang cuba menjatuhkan reputasi kerajaan Selangor dengan fitnah.

Merujuk dakwaan lebih 200 sekolah agama persendirian di Selangor diarah tutup, Amirudin menyifatkannya sebagai dakwaan tidak berasas dan isu tersebut jelasnya sudah dijawab Kerajaan Negeri pada Julai lalu.

Beliau justeru meminta supaya fitnah yang diulang-ulang itu dihentikan supaya tidak mengelirukan rakyat.

“Hentikan fitnah yang diulang-ulang. Telah dijawab semasa bulan Julai, dakwaan bahawa lebih 200 sekolah agama ditutup di Selangor adalah fitnah dan tidak berasas,” katanya dalam satu ciapan di X.

Terdahulu, seorang pemimpin sebuah NGO membangkitkan apa yang didakwanya sebagai ‘ amaran penutupan sekolah agama oleh pimpinan bukan Islam’

Dia dipetik laporan sebuah portal kemudian membuat seruan agar semua pemimpin ataupun parti politik ‘Melayu Islam’ di Selangor bersatu bagi membela agama dan bangsa.

Amirudin sebelum ini telah menegaskan tiada sebarang notis telah dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri untuk merobohkan mana-mana sekolah agama persendirian seperti yang didakwa .

Sebaliknya kerajaan pimpinannya berusaha menambah baik garis panduan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Negeri Selangor bertujuan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan para pelajar serta seluruh warga institusi tahfiz berkenaan.

Tindakan tersebut diambil berasaskan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ekoran kejadian insiden kebakaran sehingga melibatkan kemalangan jiwa di sekolah agama persendirian di Kuala Lumpur pada 2017 lalu.

Related Articles

Back to top button