Uncategorized

‘Jangan banyak alasan’ kata Azam Baki kepada menantu Muhyiddin

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, menggesa menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seorang pengarah syarikat supaya pulang ke Malaysia

Azam ketika diminta mengulas perkembangan siasatan terhadap dua individu tersebut berkata, beliau tidak lagi mahu mendengar alasan

“Saya tetap dengan pendirian saya. Awak balik saja dan hadapi apa jua siasatan dan jangan bagi banyak alasan, saya tidak mahu dengar.

“Mungkin cakap saya ini cakap yang orang tidak suka, tetapi itulah saya. Jadi awak berdua, balik sahaja dan jangan bagi alasan,” katanya.

Azam ditemui selepas Forum Eksekutif Merdeka; Tadbir Urus Terbaik Dalam Sektor Awam pada Khamis.

Media sebelum ini melaporkan, SPRM mencari Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan dan peguam yang juga pengarah dan pemegang saham NERS Sdn Bhd (NERS), Mansoor Saat, bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Pada 9 Ogos lepas Muhammad Adlan menerusi kenyataan oleh peguamnya memaklumkan, beliau tentunya akan pulang ke Malaysia secepat mungkin bagi memberikan kesemua jawapan dan membantu SPRM dalam apa-apa siasatan, selagi tiada unsur ancaman dan penganiayaan terhadapnya.

Mansoor dalam kenyataannya pada Khamis, menyangkal dakwaan kononnya beliau melarikan diri daripada menghadapi pertuduhan, sebaliknya tindakan keluar dari Malaysia dibuat secara sah atas urusan perniagaan dan telah memberi kerjasama kepada SPRM yang mengetahui keberadaannya.

Related Articles

Back to top button