Jangan sisih golongan B40 dari setiap projek perumahan baharu – PM Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pembinaan projek perumahan baharu tidak boleh menyisihkan golongan berpendapatan rendah.
Pada ucapan bagi merasmikan majlis pecah tanah di Desa Tasik Biru Sungai Besap petang Khamis, Anwar menegaskan projek perumahan baharu perlu seimbang bagi mewujudkannya sebagai ibu kota prihatin dan ibu kota Madani.
“Tantangan pastinya golongan berpendapatan rendah tidak disisihkan daripada arus pembangunan, selain memastikan lebih banyak perumahan untuk golongan berpendapatan rendah dibina,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan memaklumkan
Pembangunan projek Desa Tasik Biru membabitkan di kawasan seluas 1.4 hektar dengan membabitkan 910 unit rumah Residensi Wilayah yang berkeluasan 902 kaki persegi (83.8 meter persegi) dan 908 kaki persegi (84.4 meter persegi) dengan harga jualan RM300,000 seunit.
Unit kediaman itu ditawarkan kepada individu berusia 21 tahun ke atas dengan pendapatan kasar bulanan di bawah RM10,000 (bujang) dan RM15,000.00 (berkahwin) serta dilahirkan atau bekerja atau menetap di Kuala Lumpur.
Manakala 100 unit Residensi Prihatin Madani merupakan inisiatif yang dijayakan di bawah gagasan Malaysia Madani bagi menyediakan perumahan mampu milik kepada golongan sasaran M40 dan B40.
“Moga ia dimanfaatkan dan berguna kepada mereka yang memerlukan, Insya-Allah,” tambah Anwar dalam hantaran tersebut.