KPM nafi tak salur peruntukan untuk sekolah daif Sarawak
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menafikan kementeriannya gagal menyalurkan peruntukan kepada sekolah daif di Sarawak.
Jelasnya, pihak kementerian dan kerajaan negeri Sarawak telah berbincang mengenai perkara berkenaan bagi memastikan proses pembaikan sekolah daif dapat dilaksanakan.
“Tak betul, kita sudah mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri Sarawak.
“Selepas ini juga akan ada lagi pertemuan dari semasa ke semasa. Pertemuan itu antara saya dan Menteri termasuk Timbalan Pendidikan Sarawak.
“Kami akan saling berhubung untuk memastikan pelaksanaan proses dan kerja membaik pulih tempat sekolah daif ini akan tercapai,” katanya pada sidang media selepas perasmian program Eksplorasi Merdeka@Muzium 2023 di Muzium Negara, Kuala Lumpur pada Khamis.
Sebelum itu, Timbalan Menteri Integriti dan Ombudsman, Datuk Dr Juanda Jaya berkata, terdapat tiga sekolah yang amat daif di kawasannya yang perlu dibina baharu.
Dakwanya, banyak surat telah dihantar kepada pihak KPM namun tiada khabar gembira sehingga ke hari ini.