Semasa

Nahas N28JV: KKM sedia pasukan psikiatri bantu keluarga mangsa

Pasukan forensik bersiap siaga menerima apa jua keadaan 10 mayat nahas pesawat Beechcraft Model 390 semalam, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Dr Zaliha ketika ditemui pemberita selepas melawat waris di pekarangan luar unit forensik di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang malam tadi berkata, 20 hingga 30 pegawai forensik ditugaskan dengan diketuai Pengarah HTAR, Dr. Zulkarnain Mohd. Rawi.

“Kita masih menunggu ketibaan mayat-mayat nahas tersebut. Proses tersebut akan selesaikan secepat mungkin supaya keluarga dapat bawah jenazah untuk urusan seterusnya,” ujarnya.

Sementara itu jelas Dr Zaliha, beliau dimaklumkan ada antara mayat yang boleh dikenal pasti dan selebihnya cebisan.

“Kita dengar ada mayat-mayat yang boleh dicam. Ada juga dengar perlukan masa disebabkan dipanggil cebisan dan sebagainya

“Itu kita dengar namun tidak pasti sehingga keadaan sebenar sehingga sampai kepada kita ( di HTAR),” katanya sambil menjelaskan terdapat kira-kira empat pasukan masing-masing dari Hospital Sungai Buloh, HTAR dan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling bertugas di lokasi kejadian bagi proses mencari dan mengumpul mayat.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan lima mayat mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat itu telah ditemui dalam keadaan tidak sempurna di mana sebahagian anggota tubuh badan masih belum ditemui.

Anggota bomba serta agensi terlibat dilapor mula membawa keluar cebisan-cebisan mayat nahas di Seksyen U16, Elmina sejak jam 8.30 malam tadi.

Sementara itu Dr Zaliha memaklumkan kementerian menyediakan pasukan termasuk dari Jabatan Psikiatri dalam membantu psikologi para keluarga dan waris susulan kejadian tersebut.

Related Articles

Back to top button