Semasa

NGO buat laporan polis, dakwa ADUN Tungu cuba fitnah kerajaan

Sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) memfailkan laporan polis ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Assaffal Alian pada Khamis.

Ia susulan dakwaan Assaffa menuduh Kerajaan Persekutuan menyerahkan blok Ambalat di Laut Sulawesi kepada Indonesia.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, tuduhan tersebut satu fitnah dan perkara itu dibuat ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, 10 Ogos lalu.

“Laporan polis fitnah ini dibuat bagi tujuan membersihkan nama Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan selepas fitnah bersifat jahat dan tidak bertanggungjawab dibuat oleh ADUN Tungku.

“G57 mencabar ADUN Tungku daripada Warisan itu mengulangi tuduhan kononnya Kerajaan Persekutuan telah menyerahkan Ambalat kepada Indonesia,” katanya dalam sidang media selepas amembuat laporan di Balai Polis Karamunsing.

Sebelum ini, Assaffal pada persidangan DUN Sabah pada 10 Ogos lalu, mendakwa Kerajaan Persekutuan membuat keputusan bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah dengan menyerahkan sempadan Ambalat kepada Indonesia.

Dakwanya, itu di antara kesilapan dilakukan kerajaan negeri apabila tidak memperhalusi isu terbabit sehingga merugikan Sabah.

Zulkarnain berkata, walaupun setiap ADUN kebal daripada sudut undang-undang kerana mengeluarkan kenyataan di dalam DUN Sabah namun laporan Polis akan dihantar kepada Speaker DUN Sabah.

“Ia bertujuan agar tindakan undang-undang dapat diambil terhadap ADUN Tungku itu kerana memfitnah dan berbohong di dalam sidang DUN Sabah.

“G57 berikrar untuk terus membuat laporan polis di atas setiap fitnah yang dibuat pimpinan Warisan ke atas Kerajaan Negeri Sabah termasuk Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin sebelum ini menegaskan perjanjian ditandatangani Malaysia dan Indonesia hanya membabitkan laut wilayah dan ia tidak membabitkan kawasan dinyatakan sebagai Ambalat atau melebihi 200 batu nautika yang dikatakan sebagai Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

Related Articles

Back to top button