Negeri

Pemergian Johari kehilangan besar untuk Pahang – Wan Rosdy

Pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun yang terkorban dalam nahas pesawat ringan petang semalam dianggap satu kehilangan besar buat negeri Pahang.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Pahang kehilangan seorang pemimpin yang rajin progresif dan dinamik, malah sentiasa membawa permasalahan terutama di bawah portfolio disandangnya.

“Sudah tentu saya amat sedih kerana setiap minggu kami selalu bermesyuarat. Pemergian beliau mengejutkan, di luar dugaan..saya terharu, kehilangan seorang sahabat dan rakan sejawat dalam barisan EXCO.

“Semalam (Rabu) baru mesyuarat EXCO dengan beliau, semalam beliau sangat aktif (ketika) mesyuarat dan makan tengah hari bersama,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini tengah malam tadi.

Difahamkan Johari dalam perjalanan tujuan rasmi kerajaan Negeri Pahang. Allahyarham sebelumnya ke Langkawi untuk mesyuarat dengan Wan Rosdy Wan Ismail sebelum dijadualkan mendarat di Subang.

“Selesai mesyuarat beliau bergegas balik ada urusan lain dan kemudian saya dapat tahu mengenai nahas itu,” tambah Wan Rosdy.

Sementara itu, katanya, Kerajaan Pahang akan menanggung segala kos pengurusan jenazah mangsa dalam pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) terbabit.

Related Articles

Back to top button