PM Anwar gesa manfaatkan kepakaran Malaysia dalam industri halal
Malaysia perlu memanfaatkan kepakaran dalam industri halal dimilikinya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada ucapan di satu program di Kuala Lumpur semalam beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kepakaran negara dalam industri halal ditagih banyak negara luar, berikutan potensi besar dalam ekonomi dunia yang boleh mencecah trilion ringgit, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita harus manfaatkan supaya gabungan Jakim dan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) lebih mantap dan diselaraskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi yang baik,” katanya.
Tambah Anwar, banyak negara luar yang meminta bantuan daripada negara dalam menjayakan industri berkenaan di negara masing-masing, memandangkan Malaysia memiliki badan pensijilan halal bertaraf dunia, iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Perkara itu jelasnya dibuktikan dengan minat dan kesungguhan pemimpin-pemimpin negara luar yang ditemuinya dalam lawatan rasminya sebelum ini yang menyatakan perkara itu kepadanya, termasuk daripada Laos, Vietnam, Kemboja dan China.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, terdapat beberapa cabaran yang harus ditangani dalam industri halal, antaranya memastikan kecepatan dan efisien dalam pengeluaran sijil halal.
“Mesti betul-betul kita jamin halal kerana kita bertanggungjawab pada Allah SWT dan mesti cepat kelulusannya, jangan guna alasan halal itu untuk melambatkan kelulusan,” tambahnya