Turunkan bendera parti, kini masa kibar Jalur Gemilang – Fahmi Fadzil
Berakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, semua pihak digesa menurunkan bendera parti masing-masing dan mula mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bulan Kemerdekaan ini.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, kini adalah masa untuk semua masyarakat mengorak langkah kehadapan.
“Di Negeri Sembilan ini, kita baharu saja selesai proses PRN dan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam (Rabu), Perdana Menteri mengingatkan yang politik telah selesai dan marilah kita bersama sebagai sebuah negara dan maju ke depan.
“Jadi kita tukar, dulu kita angkat bendera parti dan sekarang kita angkat bendera Malaysia. Saya harap bukan saja Mydin tapi lebih ramai pihak lain bersama-bersama kibarkan Jalur Gemilang,” katanya.
Beliau yang juga Pengarah Penerangan KEADILAN berkata begitu pada Majlis Pelancaran Semarak Gemilang Malaysia Madani di Pasar Raya Mydin Seremban 2 pada Khamis.
Sementara itu menurutnya, usaha menyuburkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia bukan sahaja perlu digalas oleh kerajaan tetapi perlu dikongsi bersama dengan syarikat swasta yang berpengaruh seperti Mydin.
“Pendekatan menyemarakkan sambutan kemerdekaan di kompleks beli-belah seperti ini perlu dipergiat.
“Semua pihak harus menyedari bahawa selain berkeupayaan menjentik rasa cinta akan tanah air melalui aktiviti santai yang dijalankan, peluang dan program yang dilaksanakan juga berupaya untuk menjana ekonomi negara,” katanya.