Usaha perangi rasuah tanggungjawab semua, bukan hanya pemimpin – Menteri KPKM
Datuk Seri Mohamad Sabu menggesa warga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menterjemahkan ikrar bebas rasuah dalam setiap tindakan dan keputusan.
Berucap ketika merasmikan Forum Eksekutif Merdeka Tadbir Urus Terbaik dalam Sektor Awam di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Kuala Lumpur, Mohamad Sabu berkata , langkah untuk memerangi rasuah bukan hanya melibatkan kepimpinan di peringkat atasan malah juga tanggungjawab segenap peringkat kementerian.
“(Ikrar bebas rasuah) adalah tanggungjawab bersama daripada peringkat atas hingga pekerja bawahan kerana ia menjadi dari barah kepada masyarakat dan negara.
“Ini satu program yang sangat baik semoga ikrar itu dapat kita laksanakan bersama untuk memulihkan kembali kedudukan negara dan prestasi perbelanjaan negara serta mengurangkan segala bentuk pembaziran yang kita lihat pendedahan itu samada pihak antarabangsa mahupun kajian bebas amat menggerunkan kita.
“Saya pun amat terharu dengan kehadiran orang yang ditakuti iaitu Ketua Pesuruhjaya SPRM (Tan Sri Azam Baki) kerana ini kita lihat kesungguhan pihak kementerian khasnya KSU yang baca ikrar tadi,” katanya.
Ikrar bebas rasuah itu dibacakan Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Lokman Hakim Ali serta barisan pengurusan tertinggi kementerian, jabatan dan agensi KPKM dan disaksikan Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Sementara itu tegas Mohamad Sabu, semua warga KPKM perlu mengambil prinsip amanah sebagai paksi utama dalam mematuhi tanggungjawab dengan tadbir urus yang baik serta mencipta tatakelola Madani yang selari dengan citra Malaysia.
Menurutnya tadbir urus terbaik amat diperlukan supaya lonjakan ke masa hadapan menjadi lebin pantas dan seiring zaman serta tidak sekadar mengelakkan status-quo yang lapuk.