Uncategorized

Henti adu domba atas nama agama, tegas NGO Islam

Gabungan NGO-NGO Islam tempatan diketuai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat fitnah terkini yang mengelirukan umat Melayu Islam negara ini berhubung kononnya terdapat arahan menutup sekolah agama dan tahfiz persendirian di Selangor.

Presiden ABIM Muhammad Faisal Abdul Aziz menegaskan, isu mengadu domba umat Islam menggunakan agama itu tidak sewajanya berlaku apatah lagi mempunyai unsur politik di belakangnya.

“Kami berpendirian mana-mana pihak yang cuba untuk menjuarai isu sebegini seharusnya menyemak fakta terlebih dahulu serta bersikap jujur bukan dengan memanipulasi atau mempolitikkan isu berkaitan.

“Isu yang dibangkitan telah dijelaskan oleh YB Menteri, iaitu berkaitan dengan Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) yang bertujuan untuk memastikan keselamatan pelajar-pelajar di institut tahfiz serta sekolah agama persendirian.

“Tindakan ini selari dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, yang mahu semua institusi yang berkenaan didaftarkan di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” katanya kenyataan hari ini.

Selain ABIM, NGO lain yang mengecam tindakan adu domba itu adalah Perikatan Gabungan NGO-NGO Islam Bukan Kerajaan (ACCIN); Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA); International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ); Interactive Muslimah Association (IMAN); Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM); Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM); Wadah Pencerdasan Umah Malaysia (Wadah); Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) dan lain lain.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (JPM), YB Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar pada Khamis mengecam tindakan pihak tertentu yang cuba membangkitkan isu sekolag agama dan tahfiz persendirian itu dengan menganggap tohmahan seumpama itu sebagai amat tidak bertanggungkawab.

Sementara itu Muhammad Faisal menegaskan, tindakan menyebar fitnah bagi membakar sentimen kebencian dalam kalangan masyarakat Islam hanya akan mengganggu usaha untuk memartabatkan Islam di negara ini.

“Dalam masa sama, bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang, kami tegaskan sudah tiba masanya untuk pihak berkuasa bertindak tegas ke atas anasir-anasir yang berupa fitnah hasutan yang tidak berasas seperti ini.

“Kami turut menyeru seluruh pihak untuk bersama-sama memartabatkan Islam dan menyebarkan tanda pagar #SebarkanSalam dalam proses pembinaan negara menerusi usaha merealisasikan gagasan Malaysia Madani yang dibawa oleh YAB Perdana Menteri,” kata kenyataan gabungan NGO itu lagi.

Related Articles

Back to top button