Jabatan Penerangan Perak atur program sempena Sambutan Bulan Kebangsaan
Jabatan Penerangan Perak mengatur pelbagai program kenegaraan sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2023.
Justeru, Pengarahnya Mohd Rizal Hashim mempelawa orang ramai di negeri itu menyertai program-program yang dirancang seperti Program Semarak Gemilang, Karnival Madani dan Merdeka Parlimen.
“Di peringkat Jabatan Penerangan, pelbagai aktiviti yang telah pun dirancang begitu juga dengan kerjasama kita yang erat dengan kerajaan negeri Perak.
“Kita dengan kerajaan negeri Perak juga terlibat dalam jawatankuasa pertandingan, lebih kurang lapan pertandingan yang kita sediakan,” katanya dipetik RTM.
Tambah Mohd Rizal tumpuan khusus juga akan diberi bagi menarik penglibatan pelajar sekolah di sekitar negeri itu bagi menyemai semangat patriotik dikalangan mereka.
“Generasi muda, mereka bukan kata tidak mahu terlibat tetapi kencederungan masih lagi di tahap yang boleh diperbaiki dan itulah harapan kami, Jabatan Penerangan kami ingin mendekati semua golongan, bukan sahaja golongan dewasa tetapi daripada generasi Y ke Z,” tambahnya.