ekonomi

KDNK suku kedua 2023 berkembang 2.9 peratus

Meskipun negara terkesan dengan ‘kedinginan’ pasaran global, namun permintaan domestik kekal memberangsangkan pada suku kedua 2023 telah menyokong ekonomi Malaysia, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar dalam satu kenyataan lewat petang Jumaat berkata, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada S2 berkembang sebanyak 2.9 peratus dan menjadikan pertumbuhan ekonomi pada separuh pertama 2023 kepada 4.2 peratus.

Kadar pertumbuhan ini jelasnya sejajar dengan unjuran kerajaan sebanyak 4 hingga 5 peratus untuk keseluruhan tahun 2023.

“Permintaan domestik kekal ampuh pada S2 dengan peningkatan sebanyak 4.5 peratus, manakala jumlah perdagangan luar menguncup 11.3 peratus kepada RM643.4 bilion pada S2 2023.

“Perbelanjaan awam dan swasta menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi dengan kedua-dua sektor itu masing-masing meningkat sebanyak 4.6 peratus dan 4.5 peratus,” katanya yang juga Menteri Kewangan.

Daripada sudut penawaran tambah Anwar, perkembangan ekonomi Malaysia pada suku kedua 2023 disokong oleh peningkatan dalam sektor pembinaan selain perkhidmatan dan pembuatan.

Sektor pembinaan jelasnya mencatat kadar pertumbuhan tertinggi sebanyak 6.2 peratus diikuti dengan sektor perkhidmatan (4.7 peratus) dan sektor pembuatan (0.1 peratus).

“Dalam keadaan pasaran global yang mencabar, ekonomi Malaysia mampu berdaya-tahan dan menganjak pertumbuhan.

“Kadar inflasi juga menurun daripada 2.8 peratus pada Mei 2023 kepada 2.4 kepada Jun 2023. Pengangguran berjaya mencatat kadar terendah pascapandemik iaitu 3.4 peratus pada Jun 2023 berbanding 3.5 peratus pada Mei 2023,” tambah Anwar.

Beliau turut memaklumkan inflasi domestik Malaysia pada Jun 2023 juga rendah berbanding sesetengah ekonomi maju dan serantau seperti United Kingdom (7.9 peratus), Filipina (5.4 peratus), Singapura (4.5 peratus), Indonesia (3.5 peratus) selain Amerika Syarikat (3 peratus).

Related Articles

Back to top button