Semasa

KPDN mahu perluas inisiatif Jualan Rahmah mulai tahun depan

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bercadang memperluas program jualan Rahmah pada skala lebih besar mulai tahun hadapan.

Pemangku menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebagai langkah menjayakan usaha itu, kementerian sedang berusaha mendapatkan peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan.

Cadangan bagi memperluas program itu jelasnya akan disyorkan pada sesi libat urus kedua-dua kementerian untuk inisiatif Bajet 2024 minggu hadapan bertujuan memastikan program Jualan Rahmah yang diikhtiarkan oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang.

“Kita harapkan ditambah daripada RM100 juta (Bajet 2023), kepada RM150 hingga ke RM200 juta, sekiranya dipertimbangkan tambahan ini, beberapa model lagi akan dilaksanakan.

“Antara cadangan adalah program dalam premis, luar premis dan secara bergerak seperti yang ada sekarang” katanya.

Armizan berkata begitu dalam sidang akhbar selepas Walkabout Jualan Rahmah DUN Simpang Jeram@JDT Corner Big Screen Southern Tigers, Dataran Cenderawasih Sungai Abong, dekat Muar pada Jumaat.

Sebagai rekod, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta, sebagai tambahan kepada inisiatif Jualan Rahmah sedia ada.

Sementara itu tambah Armizan, pihak KPDN juga berharap dapat menginstitusikan Jualan Rahmah ini sekali gus sebagai satu program teras kepada kementeriannya dan kerajaan sebagai satu mitigasi atau ‘immediate short-term’ untuk menangani isu kos sara hidup.

“Program ini juga melibatkan kerajaan dan juga komuniti perniagaan contohnya persatuan nelayan, penternak dan sebagainya dengan menawarkan harga dalam kadar diskaun 10 hingga 30 peratus yang dikongsi bersama sebahagian melalui peruntukkan kerajaan, subsidi dan sebahagian lagi adalah sumbangan Rahmah.

“Jadi apabila dibahaskan nanti, kita harap Ahli Parlimen (termasuk Ledang dan Bakri) boleh sokong,” katanya.

Related Articles

Back to top button