Pilihanraya

PH umum calon PRK Pulai, Simpang Jeram Rabu depan

Pakatan Harapan (PH) dijangka akan mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, pada Rabu depan.

Timbalan Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan, berkata gabungan itu bakal menampilkan calon muka baharu bagi mempertahankan kedua-dua kerusi itu.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat khas tertutup antara PH dan Barisan Nasional (BN) di Bangunan UMNO Johor pada Jumaat, beliau mendedahkan calon yang bakal diketengahkan merupakan anak tempatan serta berpendidikan tinggi.

“Dua calon PH bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram sudah dimuktamadkan Amanah Pusat dan akan diumumkan pada 23 Ogos atau Rabu depan,

“Ia akan diumumkan Presiden Amanah (Datuk Seri Mohamad Sabu) dan Menteri Besar (Datuk Onn Hafiz Ghazi), pada sebelah malam di Pusat Khidmat Adun Simpang Jeram, di Taman Sri Kasih Muar,” katanya.

Aminolhuda yang juga Pengarah Pilihan Raya bagi PRK itu turut memaklumkan sebelum majlis pengumuman calon, satu majlis tahlil untuk penyandang kerusi Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub akan diadakan di Simpang Jeram.

Sementara itu, menyentuh mengenai mesyuarat khas berkenaan yang turut dihadiri Pengerusi BN Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, beliau berkata perbincangan menjurus kepada memperkasakan lagi kerjasama jentera parti Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kemenangan.

“Kita meletakkan keyakinan kepada rakyat yang keluar mengundi, dibantu dengan kerjasama rakan-rakan kongsi seperti BN untuk kemenangan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 26 Ogos, pengundian awal pada 5 Sept dan hari pengundian pada 9 Sept.

Related Articles

Back to top button