Agong kurnia sumbangan kepada waris mangsa nahas pesawat
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menyampaikan sumbangan peribadi kepada waris-waris mangsa nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, pada Khamis lalu.
Menurut hantaran di Facebook Istana Negara hari ini, sumbangan itu diserahkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Mejar Jeneral Zahari Mohd Ariffin dalam kunjungan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Masjid Jamek Ar-Rahimiah di Klang hari ini.
Dalam kunjungan itu, Zahari turut menyampaikan ucapan takziah Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kepada semua waris dan ahli keluarga atas pemergian mengejut insan tersayang.
“Seri Paduka Baginda berdua turut berdukacita dan menzahirkan harapan agar semua keluarga tabah dan sabar menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” menurut catatan itu.
Dalam insiden pada Khamis lepas, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) itu, yang berlepas dari Langkawi, terhempas dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, mengakibatkan 10 individu maut.
Lapan yang maut adalah enam penumpang, termasuk Exco Pahang Johari Harun, dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang melalui kawasan kejadian.