Nasional

Guna tema dan logo sambutan Hari Kebangsaan berbeza khianati prinsip federisma

Cadangan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) agar tema dan logo berbeza bagi sambutan Hari Kebangsaan digunakan di empat negeri diperintah PN seolah-olah mengkhianati prinsip federalisme yang diamalkan negara.

Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Mujibu Abd Muis, berkata cadangan dilontar Ahmad Fadhli Shaari mampu meregangkan hubungan antara kerajaan Pusat dan negeri

“Federalisme merujuk kepada semangat kerjasama dan hubungan baik antara kerajaan Pusat dan negeri yang lazimnya dalam hal-hal keraian dan sambutan bersifat kebangsaan, negara dan negeri akan ikut serta patuh tanpa prejudis.

“Menggunakan logo dan tema berlainan jelas bermotifkan politik. Ia tidak patut berlaku atas keperluan untuk menghormati semangat berpersekutuan,” katanya sambil menggesa Ahli Parlimen Pas itu mempertimbangkan semula cadangan dilontarnya.

Terdahulu, Ahmad Fadhli, dilaporkan berkata empat negeri di bawah pemerintahan PN mungkin menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza untuk sambutan peringkat negeri, berbanding menggunakan logo dan tema yang diumumkan di peringkat Persekutuan.

Sementara itu, Penganalisis Politik dan Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr Jeniri Amir mempersoalkan niat Ahmad Fadhli agar PN menggunakan tema dan logo berbeza.

Tindakan seperti itu tegasnya seolah-olah menunjukkan rasa tidak hormat kepada prinsip Rukun Negara yang menganjurkan perpaduan yang lebih erat dalam kalangan masyarakat.

“Dalam soal sambutan negara ini, kita haruslah seiring sejalan, bukan sahaja orang politik yang terbabit tetapi juga belia dan masyarakat terutamanya anak-anak yang masih bersekolah, jadi mungkin mereka akan kata kenapa tidak sama? Jadi saya rasa ia akan dapat memberikan kesan negatif kepada negara,” katanya.

Dr Jeniri turut menegaskan apa-apa tindakan yang mampu merenggangkan hubungan di antara kerajaan Persekutuan dan negeri yang tidak sepatutnya berlaku.

Related Articles

Back to top button