Nasional

Fahmi bidas cadangan PN guna tema sambutan Hari Kebangsaan berbeza

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengkritik kenyataan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari yang dilaporkan berkata, empat negeri di bawah pentadbiran PN mungkin menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza.

Fahmi menegaskan Hari Kebangsaan adalah sambutan peringkat negara dan tidak sepatutnya ada perbezaan untuk meraikannya di peringkat negeri.

Keputusan untuk menggunakan slogan dan tema berbeza jelasnya hanya akan mewujudkan satu suasana yang kurang bersatu padu dan menggagalkan usaha kerajaan memupuk perpaduan di kalangan rakyat.

“Saya minta perkara ini diteliti dan kita ingin bersatu padu…masa untuk berpolitik telah tamat dengan selesainya pilihan raya negeri (PRN),” katanya.

Fahmi berkata begitu kepada media selepas melancarkan kempen Astro #DemiNegaraku dan Home of Kids di Putrajaya.

Sementara itu tambah Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, sekarang adalah masa untuk rakyat mengibarkan Jalur Gemilang bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan.

Ia jelasnya bukan sahaja boleh dilakukan dengan mengibarkan Jalur Gemilang secara fizikal tetapi menukar avatar kepada Jalur Gemilang di aplikasi media sosial masing-masing agar sambutan HKHM diraikan secara meriah menerusi platform secara dalam talia

“Sekarang kita fokus membangunkan Malaysia, bersatu padu dan agenda lain diketepikan sementara. Tunggu empat tahun lagi,” katanya.

Untuk rekod, kerajaan mengumumkan ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023.

Related Articles

Back to top button