Islamofobia lahir dari ketidakfahaman terhadap Al-Quran, kata Anwar
Salah satu tanggungjawab dalam menterjemahkan idea Malaysia Madani adalah untuk mengangkat martabat umat Islam dan negara ke peringkat yang lebih baik, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa kali Ke-63 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), pada Sabtu menjelaskan, ia mampu dilaksana jika usaha untuk memahami al-Quran diberikan keutamaan, terutama dalam konteks sebuah negara berbilang kaum.
“Kita akui sebagai satu negara pelbagai kaum kita tetap akan menyantuni dan memberi jaminan keadilan, keselesaan hidup bagi semua, jaminan dan terus mengulangi bahawa walaupun Islam adalah agama bagi Persekutuan.
“Kita akan terus mempertahankan akidah, kita akan terus menegakkan kesucian agama dan mempromosikan Islam dan menyediakan pendidikan dan sokongan yang mencukupi untuk latihan, untuk memahami Islam, dan melaksanakan program Islam dan pembaharuan Islam.
“Tetapi pada masa yang sama, kita tegas bahawa negara ini, atas nama ummah, akan melindungi hak setiap rakyat termasuk bukan Islam, Kristian, Hindu atau Buddha di negara ini,” katanya.
Tambah Anwar lagi, kefahaman terhadap konteks tersebut konsisten dengan apa yang diajar dalam agama Islam sendiri.
Dalam pada itu Pengerusi Pakatan Harapan itu turut menyentuh mengenai slamofobia yang jelasnya bukan sahaja hasil daripada kejahilan dan kedangkalan kelompok barat. Ia juga jelasnya lahir dari ketidakfahaman terhadap al-Quran.
“Saya sebut perbenturan idea antara kuasa melampau anti-Islam yang dikenali sebagai Islamofobia hari ini, dan tindakan yang menggunakan kaedah yang sangat melampau dan fanatik atas nama mempertahankan Islam.
“Tetapi dalam satu cara, ia telah menjatuhkan nama dan maruah Islam, kerana kecenderungan untuk melakukan tindakan keganasan,” tegasnya.