KBS tetapkan sasaran untuk Sukan Asia tak lama lagi
Sasaran ditetapkan untuk kontinjen negara pada Sukan Asia 2022 akan diumumkan tidak lama lagi selepas Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan persatuan sukan menjalani bengkel penetapan sasaran pingat pada Selasa ini.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, prestasi mengecewakan kontinjen negara pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja, Mei lepas, tidak boleh dijadikan kayu ukur dalam menetapkan sasaran temasya di Hangzhou, China, bulan depan.
“Seperti sedia maklum, Sukan Asia diwakili atlet lebih senior manakala Sukan SEA disertai atlet junior jadi konteksnya berbeza.
“Memandangkan atlet negara terlibat ke Sukan Asia 2022 telah menjalani persiapan sejak dua tahun lepas, kita mengharapkan agar mereka dapat memberikan persembahan terbaik nanti,” katanya pada Sabtu.
Sukan Asia 2022 yang ditunda penganjurannya susulan Covid-19 bakal berlangsung dari 23 September hingga 8 Oktober ini.
Pada Sukan SEA Kemboja, berlangsung dari 5 hingga 17 Mei lepas, Malaysia menduduki tempat ketujuh selepas mengutip 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa, iaitu pencapaian terburuk dalam sejarah penyertaan dalam temasya dwitahunan itu sejak 1959, selain gagal mencapai sasaran ditetapkan 40-37-64.
Kontinjen Malaysia memenangi tujuh emas, 13 perak dan 16 gangsa pada Sukan Asia 2018 di Indonesia sekali gus menyaksikan mereka menduduki ranking ke-14 daripada 45 negara.