Kerajaan mahu kurang kebergantungan kepada gula import
Kerajaan sedang mengkaji kaedah terbaik bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap gula mentah import .
Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, kebergantungan negara kepada import gula kini berada pada tahap 100 peratus dan lebih membimbangkan apabila negara hanya menerima bekalan itu dari sebuah negara sahaja, iaitu Brazil.
“Yang ada dalam negara adalah gula ‘refinary’, gula proses, tetapi gula mentah, bekalannya kita adalah sepenuhnya dari negara luar. Sebelum ini kita terima bekalan dari beberapa buah negara, antaranya Brazil, Thailand dan India. Namun atas beberapa faktor, kini kita hanya terima bekalan dari Brazil sahaja.
“Jadi, kita perlu fikirkan untuk tempoh masa panjang,” jelasnya.
Armizan berkata begitu kepada pemberita selepas merasmikan Program Jualan Rahmah Mega di pekarangan Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang, di Johor pada Sabtu.
Turut hadir pada acara itu adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han dan Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo.
Beliau menjelaskan, tindakan mengimport gula mentah sepenuhnya dari negara luar dibuat kerana kos diperlukan adalah lebih rendah berbanding sekiranya produk itu dikeluarkan secara tempatan.
Namun jelasnya melalui kaji dijalankan, kerajaan perlu mengambil kira keperluan asas negara untuk tempoh jangka masa panjang.
“Jadi, walaupun kosnya lebih tinggi sekiranya dihasilkan tempatan, tetapi kita perlu berbelanja lebih sedikit dalam aspek ini,” tegasnya.
Sementara itu tambah Armizan, usaha mengurangkan kebergantungan itu bukan hanya akan diusaha KPDN, malah turut akan membabitkan kementerian dan agensi terlibat berhubung penghasilan produk penting .
“Ia sekurang-kurangnya agar kita dapat mencapai tahap sara diri kerana kita khuatir faktor geopolitik global akan mempengaruhi bekalan dalam negara,” katanya