Semasa

Nahas N28JV: APM bakal iringi jenazah Sharipuddin Shaari

Angkatan Pertahanan Awam (APM) difahamkan bakal mengiringi jenazah seorang mangsa terkorban dalam nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam Khamis lalu.

Dipetik laporan media, jenazah Sharipuddin Shaari akan diiringi dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang ke Tanah Perkuburan Masjid Hishamduddin, Bandar Baru Salak Tinggi, Isnin ini bagi memberikan penghormatan terakhir.

“Anggota dan pegawai APM akan membantu membawa atau menguruskan pergerakan jenazah ke tanah perkuburan,” ujarnya.

Allahyarham Sharipuddin merupakan sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM) pada pandemik Covid-19 lalu.

Menurut seorang pegawai APM Kota Setar, Kedah, dikenali sebagai Muhammad Hilmi Yaakob, beliau terkejut apabila mengetahui Allahyarham adalah salah seorang mangsa tragedi pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Khamis lalu.

Ujarnya, Allahyarham yang berusia 53, sebelum ini merupakan bekas anggota tentera sebelum berkhidmat sebagai anggota sukarelawan APM.

“Beliau berkhidmat bersama-sama saya bagi pengurusan jenazah Covid-19 APM Daerah Kota Setar dan juga Pengurusan Stesen Kuarantin Covid-19 Hotel Seri Malaysia Alor Setar.

“Sangat-sangat baik dan penuh etika kerja sebagai anggota beruniform. Selepas tamat tugasan-tugasan melibatkan pengurusan Covid-19, arwah tidak lagi aktif dan mencari sumber pendapatan menerusi e-hailing,” tulis Muhammad Hilmi dalam satu hantaran di Facebook.

Menurutnya lagi, Allahyarham jarang-jarang pulang ke rumah dan terpaksa menginap di asrama pejabat ketika berkhidmat sebagai sukarelawan APM ketika negara berdepan pendemik Covid-19 susulan terlalu banyak jenazah yang perlu diuruskan.

“Terima kasih kandaku di atas bakti yang diberikan sepanjang berkhidmat di bawah seliaan saya. Semoga ia menjadi salah satu bekalan buatmu di sana,” luah Muhammad Hilmi dalam perkongsiannya.

Related Articles

Back to top button