Nasional

Tema Hari Kebangsaan berbeza bersifat politik – Adam Adli

Tindakan empat negeri pembangkang yang mahu menggunakan tema berbeza sempena Hari Kebangsaan hanya bersifat politik semata-mata.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, sambutan Hari Kebangsaan sepatutnya disambut untuk meraikan seluruh rakyat Malaysia dengan semangat perpaduan.

Menurutnya, Hari Kebangsaan tidak ada kena mengena dengan parti atau mana-mana ideologi politik.

“Jadi adalah satu yang amat khilaf bagi mana-mana pihak untuk mengajukan tema berbeza sambutan yang dilihat berasingan. Saya harap perkara itu tidak perlu diteruskan. Hormati kita punya semangat federalisme jangan pecahbelahkan masyarakat sedemikian rupa.

“Saya kira pertimbangan yang diambil itu memang pertimbangan politik, bukan pertimbangan dengan mana-mana konteks kenegerian atau kebangsaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Fit Malaysia Peringkat Negeri Perak Tahun 2023 di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak, hari ini.

Adam yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia turut kesal dengan keputusan pembangkang itu dan menyifatkan ia tidak sepatutnya berlaku.

Terdahulu, media melaporkan, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari mencadangkan supaya kerajaan negeri ditadbir komponen itu menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza dengan yang digunakan di peringkat Persekutuan.

Related Articles

Back to top button