Uncategorized

Guna logo berbeza, seolah-olah pembangkang tak faham semangat federalisme – Penganalisis

Tindakan Perikatan Nasional (PN) memperkenalkan logo dan tema alternatif bagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini merupakan suatu yang tidak wajar.

Prof Datuk Sivamurugan Pandian, penganalisis dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, tindakan itu boleh membawa keretakan dalam kalangan masyarakat terutama ketika Kerajaan Persekutuan cuba membentuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini.

Selain itu jelasnya, tindakan menggunakan logo dan tema berbeza dari Persekutuan dilihat janggal dan menunjukkan seolah-olah negeri ditadbir PN tidak memahami semangat federalisme.

“Dalam konteks ini apabila ada pihak yang mengusulkan sesuatu yang berbeza, sudah pasti itu boleh membawa kepada keretakan dan ketempangan kepada apa yang diusahakan agar dapat menjadi satu nilai kesepaduan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

“Jangan dalam soal ini (logo dan tema alternatif Hari Kebangsaan) mahu berbeza, kemudian dalam soal lain termasuk hal bantuan kewangan, proses pembangunan dan modenisasi masih memerlukan nilai keterikatan dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya alam program Fokus Minggu Depan terbitan Astro AWANI pada Ahad.

Sivamurugan menegaskan dalam hal berkaitan sambutan Hari Kebangsaan, setiap negeri perlu mengikut ketetapan yang telah dibuat di peringkat Persekutuan kerana ia membawa visi kenegaraan dalam konteks yang lebih besar.

Oleh itu, konsep Malaysia Madani dalam tema sambutan tahun ini tidak wajar disifatkan sebagai suatu yang bermotifkan politik.

“Perlu dilihat konsep Malaysia Madani itu bukan suatu yang memenuhi keperluan pemimpin politik, sebaliknya ia merupakan agenda besar kementerian dan agensi kerajaan yang harus dilihat sebagai satu gagasan keatas takrifan, konsep dan penjenamaan negara.

“Jika itu dilihat secara praktikal dan waras, saya percaya masing-masing tahu walaupun menggunakan istilah Malaysia Madani di dalam apa sahaja penggunaan, ia tidak menjejaskan reputasi mereka yang mempunyai fahaman politik yang berbeza,” kata dipetik.

Related Articles

Back to top button