Negeri

Insinerator: Chua akan bawa bantahan penduduk pada k’jaan negeri

Adun Rawang berjanji kepada penduduk di kawasan diwakilinya untuk membawa bantahan terhadap rancangan kerajaan negeri Selangor membina Loji Sisa ke Tenaga (WTE) di kawasan tersebut.

Chua Wei Kiat dalam satu kenyataan berkata, adalah tidak adil untuk meletakkan penduduk Rawang dalam risiko terutamanya apabila loji itu bakal dibina berhampiran kawasan perumahan mereka.

“Sehingga kini masih tiada insinerator yang mempunyai success story di Malaysia. Ia tidak adil bagi meletakkan penduduk Rawang dan Kuang dalam keadaan yang mempunyai risiko tinggi, kediaman akan terjejas dengan pencemaran.

“Tambahan pula faktor Batu Arang merupakan kawasan warisan dengan lombong arang, keselamatan pembinaan kilang tersebut menjadi kekhuatiran bagi penduduk setempat.

“Selepas kerajaan Selangor baru wujud, saya turut akan bawa suara penduduk kepada barisan pemimpin kerajaan,” katanya di Facebook.

Menurut Chua, dia juga telah menyuarakan bantahan terhadap projek insinerator itu semasa kempen pilihan raya baru-baru ini, termasuk pada ceramah bersama Menteri Besar sementara, Amirudin Shari.

Pada Sabtu, kumpulan penduduk mengadakan sidang media bagi menggesa kerajaan negeri membatalkan projek insinerator tersebut.

Kumpulan itu menegaskan loji itu akan membawa lebih banyak kemudaratan berbanding kebaikan kepada penduduk.

Related Articles

Back to top button