Politik

Lawan perjuangan Islam: Kenyataan MB Kelantan boleh menjurus perselisihan

ADUN Galas Mohd Syahbuddin menyifatkan kenyataan dibuat Menteri Besar, Mohd Nassuruddin Daud terhadap dirinya dan ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim sebagai kembalinya budaya takfiri.

Dalam satu sidang media semalam Mohd Syahbuddin berkata, Mohd Nassuruddin secara sedar dan jelas menamakan dua kerusi DUN Kelantan yang dimenangi wakil Kerajaan Perpaduan sebagai menentang perjuangan Islam.

“Kenyataan menentang PAS seperti menentang perjuangan Islam adalah budaya takfiri yang boleh memecahbelahkan rakyat dan Masyarakat.

“Pastinya kenyataan ini menjurus kepada perselisihan faham yakni menuduh pengundi BN sebagai penentang (Islam) sedangkan saya sebagai seorang Islam yang lahir dan Insya-Allah mati sebagai umat Islam tidak sesekali akan menentang Islam,” katanya pada sidang media di Kota Baharu itu.

Tambahnya lagi, seramai 10,742 pengundi Galas yang mengundi BN dan 9,691 pengundi DUN kota Lama yang mengundi PH amat tersinggung dengan pernyataan yang dianggap sebagai melampau dan ekstrem itu.

Nassuruddin dalam satu rakaman video kuliah agama yang tular mendakwa kemenangan PAS dalam pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini adalah kemenangan perjuangan Islam.

Dia dipetik media menyifatkan dua kerusi yang dimenangi PH-BN selepas menewaskan calon PAS di kawasan terbabit sebagai milik pihak yang “menentang perjuangan Islam”.

Sementara itu Dr Hafidzah menegaskan sebagai seorang pemimpin negeri, Nassurddin sewajarnya pendekatan perpaduan dan penyatuan menjadi pilihan berbanding tuduhan melulu serta menyemai benih-benih keliru

Tindakan takfiri serta budaya pemecahbelah umat seperti itu jelasnya tidak boleh dikompromikan.

Susulan itu mereka memberi tempoh tujuh hari untuk Nassuruddin membuat permohonna maaf atau tindakan mahkamah akan diambil sekiranya dia gagal berbuat demikian.

“Kegagalan menteri besar melaksanakan permohonan maaf secara terbuka ini mengundang kepada tindakan undang-undang yakni memfailkan saman sivil di mahkamah,” tegas Dr Hafidzah.

Related Articles

Back to top button